MENU

Seremban, 1 Jun 2022 (Korporat SUKNS) – Seramai 512 pegawai daripada 34 jabatan di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Razali Ab Malik, Ahli-ahli EXCO serta Ketua-ketua Jabatan Negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun dalam amanatnya berkata penjawat awam perlu lebih responsif dalam menyelesaikan aduan rakyat serta tidak culas dalam melaksana amanah yang diberi. Mereka juga perlu memulihkan imej perkhidmatan dengan amalan budaya kerja berintegriti dan berprestasi tinggi. setiap permasalahan yang diterima perlu diberi maklum balas segera dan diselesaikan tanpa birokrasi.

"Kita harap penjawat awam di negeri Sembilan ini supaya lebih menitik beratkan kepada isu-isu semasa aduan-aduan semasa rakyat supaya dapat kita dapat selesaikan dalam tempoh yang tidak panjang", katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di d'Tempat Country Club, Seremban.

Selain itu, penjawat awam perlu lebih peka terhadap isu semasa dan permasalahan rakyat.

"Kita tak mahu lagi orang luar cakap perkhidmatan awam ini perkhidmatan yang 'lekeh', banyak birokrasi seperti ambil masa untuk bertindak dan melengah-lengahkan urusan di kaunter.”

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Dr Razali Ab Malik dalam ucapan alu-aluan beliau mengingatkan penjawat awam bertindak sebagai penggerak utama dalam ekosistem perkhidmatan awam, hanya penjawat awam boleh menentukan misi pembaharuan organisasi berjaya atau tidak. "Dalam peredaran zaman dan apa jua perubahan yang berlaku, sering saya tekankan bahawa penjawat awam mesti sentiasa mengamalkan nilai asas dalam penyampaian perkhidmatan awam iaitu cepat dalam tindakan, utamakan integriti, tepat dalam penyampaian perkhidmatan dan sentiasa mesra ketika berurusan. Cepat, integriti, tepat dan mesra atau singkatannya CITRa,"katanya.

Kesemua penerima APC membawa pulang hadiah bernilai RM1,000 dalam bentuk simpanan SSPN-I dan sijil penghargaan.

Sumber : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan SUKNS