MENU

Pada 4 September 2019, YB Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun iaitu pada 4 September 2019 hingga 7 September 2019. Lawatan ini turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pengurusan), Noreha Muslim dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Chua Yee Ling, Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri dan Fadli Adilah, Pegawai Kedutaan Malaysia di Tokyo. YB Puan Hajah Zuraida telah mengadakan lawatan ke Suginami Incineration Plant dan disambut mesra oleh Director Clean Authority Tokyo, Mamoru Yasoshima. Tujuan lawatan ini adalah untuk pertukaran pendapat dan mempelajari kemahiran Jepun dalam menukar sampah menjadi tenaga Waste To Energy (WTE) dan program kitar semula Jepun. Pada masa yang sama, YB Puan Hajah Zuraida turut menandantangani Memorandum Kerjasama (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Menteri Alam Sekitar Jepun, Yoshiaki Harada berkaitan pengurusan sisa pepejal. Sementara pada 7 September 2019 merupakan hari terakhir lawatan, YB Puan Hajah Zuraida meluangkan masa menghadiri program “#SpeaktoLead” oleh “Girl2leader” yang dihadiri pelajar Malaysia yang belajar di Jepun. Beliau juga turut bertukar pendapat tentang program ini bersama dengan pelajar dan beramah mesra bersama mereka. Selain itu, pada hari yang sama, Yayasan Keamanan Sasakawa (SPF) memberi penghormatan kepada YB Puan Hajah Zuraida untuk menyampaikan ucapan dan menjadi panel pada kuliah umum mengenai penyertaan wanita dalam politik. YB Puan Hajah Zuraida menegaskan bahawa beliau sentiasa berusaha untuk memperkenalkan bandar raya mesra wanita dengan mengutamakan pemilihan jantina dalam tadbir urus iaitu meningkatkan kuota wanita dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Beliau turut menekankan bahawa penglibatan wanita dalam tadbir urus akan menjadikan negara lebih baik. Dengan itu, Beliau yakin langkah itu dapat memberi inspirasi dan dapat menarik lebih ramai wanita muda melibatkan diri dalam politik dan menjadi sebahagian daripada pembangunan negara. Melalui lawatan kerja ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara dua negara iaitu Malaysia dan Jepun. Di samping itu, Malaysia dapat mempelajari kemahiran Jepun dalam menjaga alam sekitar.

 

Sumber: Unit Komunikasi Korporat