MENU

Kuala Pilah, 3 Oktober 2019 - Sebanyak 30 pempamer berkongsi ilmu dengan mempersembahkan projek-projek inovasi yang dihasilkan mereka dalam usaha menyemarakkan pembudayaan inovasi dan kreativiti dalam kalangan masyarakat pada Minggu Inovasi Peringkat Negeri Sembilan 2019 di sini, hari ini.

Kerajaan negeri sentiasa mengalakkan jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini untuk melakukan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui penciptaan dan penemuan inovasi baharu, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun. Beliau berkata ini kerana sistem penyampaian yang cekap amat diperlukan bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negeri.

"Sistem penyampaian yang cekap amat diperlukan bagi memenuhi tuntutan rakyat dan masyarakat serta sektor perniagaan yang terus meningkat. Oleh itu, kita perlu mengkaji semula sistem penyampaian perkhidmatan sedia ada bagi tujuan penambahbaikan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Inovasi Peringkat Negeri Sembilan 2019 anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan, Dato’ Dr. Razali Ab Malik.

Aminuddin berkata jabatan dan agensi kerajaan juga perlu melipatgandakan lagi usaha dalam mengenal pasti, menilai dan mengkaji semula amalan sedia ada bagi meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan masing-masing.

"Ini termasuk mengkaji semula sistem dan prosedur kerja sedia ada, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai, peralatan dan kelengkapan yang digunakan serta tahap kemahiran anggota organisasi yang melaksanakan tugas. Pada keseluruhannya saya berpuas hati dengan sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini, namun ia boleh ditambah baik dan diperkemaskan lagi,” katanya.

Terdahulu, Aminuddin ketika berucap pada majlis itu, berkata kerajaan negeri berhasrat menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda utama dalam mentransformasikan sektor perkhidmatan awam.

“Inovasi dan transformasi adalah antara dua perkara yang tidak dapat dipisahkan agar dapat memacu strategi pelaksanaan bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Justeru itu, adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk terus mempergiatkan usaha dalam menyemarakkan lagi budaya inovasi serta memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cepat, cekap dan berkesan," katanya.

Pada majlis itu, kumpulan Mvengers dari Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan diumumkan pemenang bagi kategori Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Primer-Inovasi Sosial, kumpulan EN9 dari Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan (KIK Primer-Inovasi Penyampaian Perkhidmatan) serta kumpulan De'Minang dari Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (KIK Hibrid).

Kesemua pemenang pertandingan itu yang menarik penyertaan seramai 35 kumpulan, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan dan piala iringan serta sijil.

Minggu Inovasi Peringkat Negeri Sembilan 2019 berlangsung selama lima hari bermula hari ini di Kuala Pilah. Pelbagai acara disediakan kepada pengunjung yang hadir antaranya pertandingan push bike, solar boat, pameran sains, inovasi dan teknologi, roket air dan Kuala Pilah fun ride.

 

 

sumber :(Korporat SUKNS)