Kempen Larangan Penggunaan Plastik Sekali Guna telah dilaksanakan dengan jayanya pada 12 Februari 2026 (Khamis) bertempat di Kompleks Arena Dataran Tampin sebagai inisiatif bersepadu dalam memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta menyokong komitmen Kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik secara mampan dan sistematik.
Majlis perasmian penutup tersebut telah disempurnakan oleh YB Tuan Veerapan a/l Superamaniam, Pengerusi Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan. Turut hadir ialah Tuan Abdul Aziz bin Parmin, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, wakil-wakil agensi Kerajaan dan Swasta, Jawatankuasa Penduduk serta warga sekolah yang bersama-sama menjayakan agenda kelestarian ini.
Sepanjang kempen berlangsung, pelbagai pengisian ilmiah dan aktiviti interaktif telah dianjurkan, antaranya ceramah bertajuk Kesedaran Alam Sekitar oleh En. Muhammad Mukmin bin Rusli dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan dan ceramah Pengurusan Sisa Pepejal dan Amalan 5R oleh Pn. Areda binti Sidek dari SWCorp Negeri Sembilan.
Program turut diserikan dengan pameran reruai oleh agensi Kerajaan dan Swasta, selain Pertandingan Rekacipta Beg Jinjit menggunakan bahan terpakai dan bahan terbuang yang melibatkan penyertaan 26 buah sekolah rendah dan 10 buah sekolah menengah.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Shopping Rush Challenge yang telah berlangsung pada 28 Januari 2026 yang lalu.
Tahniah diucapkan kepada para pemenang dan penghargaan kepada para peserta dalam menyokong aspirasi kelestarian alam sekitar.
Semoga inisiatif ini terus menjadi pemangkin kepada pembudayaan gaya hidup bebas plastik dalam kalangan masyarakat.


