MENU

Majlis Daerah Tampin telah mengadakan sesi libat urus dan perbincangan kumpulan sasar (FGD) bagi penyediaan laporan hala tuju Matlamat Pembangunan Mampan pada 14 April 2023 bertempat di Dewan Perdana, Tampin. Sesi libat urus ini melibatkan pelbagai jabatan diperingkat Daerah dan Negeri bagi bersama-sama menyumbang idea bagi mendapatkan input terbaik bagi setiap perkara yang dibincangkan.

Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs) terdiri daripada 17 Matlamat. Ia merangkumi unsur-unsur sosial (56%), ekonomi (20%) dan alam sekitar (24%). SDGs merupakan teras agenda 2030 bagi pembangunan mampan yang dipersetujui oleh Ketua-ketua Negara dan masyarakat antarabangsa pada 25 September 2015 di Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) .

 SDGs merupakan kesinambungan agenda pembangunan yang diteruskan selepas berakhirnya Millennium Development Goals (MDGs) pada 2015. MDGs mempunyai 8 matlamat dan 21 sasaran. Manakala SDGs diperluaskan kepada 17 matlamat dan 169 sasaran dengan matlamat bagi meneruskan agenda 2030 mencapai keseimbangan dalam tiga dimensi pembangunan mampan iaitu merangkumi sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Pelaksanaan SDGs adalah bermatlamat untuk menjamin generasi masa depan supaya mereka mampu untuk mendapat semua keperluan asas yang diperlukan. Program ini meliputi people (manusia), planet (planet), prosperity (kesejahteraan), peace (keamanan), dan partnership (rakan strategik), yang diharapkan dapat mengakhiri permasalahan yang sedang dialami sekarang oleh negara-negara sedang membangun.