Satu lawatan kerja Majlis Daerah Tampin (MDT) ke Majlis Daerah Lipis (MDL) telah diadakan bagi mengadakan perbincangan dua hala berkaitan Pelancongan Kereta Api.
Delegasi dari Majlis Daerah Tampin (MDT) telah diketuai oleh Puan Suriani binti Salihan, Yang Dipertua MDT, bersama Setiausaha, pegawai serta kakitangan MDT, dan turut disertai oleh Encik Isma Saring bin Abu Ismail, ejen pelancongan daripada Hannif Travel Service Sdn. Bhd.
Delegasi MDT telah bertolak ke Kuala Lipis dengan menaiki perkhidmatan kereta api dari Gemas. Setibanya di Kuala Lipis, delegasi telah disambut mesra oleh pihak Majlis Daerah Lipis yang diketuai oleh Encik Rosfaizuazman bin Ahmad Simin, Ketua Unit Korporat MDL.
Sepanjang lawatan, delegasi MDT telah mengadakan sesi perbincangan dan taklimat berkaitan pembangunan serta potensi eko-pelancongan dan pelancongan kereta api di Kuala Lipis. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Puan Qathrunnada binti Mahmud, Ketua Unit Perhubungan Awam dan Pembangunan Masyarakat MDL.
Selain itu, delegasi MDT turut dibawa melawat beberapa lokasi tarikan pelancongan sekitar Kuala Lipis, antaranya Gua Batu Bama, Masjid Negeri (Masjid Lama Kuala Lipis), Muzium Warisan Kuala Lipis serta beberapa lokasi pelancongan lain yang berpotensi untuk diketengahkan.
Majlis Daerah Tampin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Majlis Daerah Lipis atas sambutan mesra serta kerjasama erat yang telah diberikan. Diharapkan lawatan kerja ini dapat memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik serta membuka ruang perkongsian idea antara Majlis Daerah Tampin (MDT) dan Majlis Daerah Lipis (MDL).


