MERDEKA RIDE 2026 | SATU JIWA, SATU RODA, 7 DESTINASI
Sempena Hari Kebangsaan 2026 dan dalam semangat Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, Majlis Daerah Tampin (MDT) telah menganjurkan Program Merdeka Ride 2026, dengan konvoi diketuai oleh Puan Suriani binti Saliah, Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin, bersama warga kerja MDT.
Konvoi Merdeka Ride 2026 menjelajah ke 6 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Sembilan, iaitu:
Majlis Daerah Rembau (MDR)
Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP)
Majlis Perbandaran Jempol (MPJL)
Majlis Daerah Jelebu (MDJ)
Majlis Bandaraya Seremban (MBS)
Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD)
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada 6 PBT yang sudi menerima kunjungan delegasi MDT dengan penuh kemesraan, semangat kekeluargaan dan jalinan persahabatan.
Kunjungan ini bukan sekadar sebuah konvoi, tetapi membawa misi dan simbolik yang penuh makna melalui penyerahan Jalur Gemilang, Plak Merdeka Ride serta Direktori Pelancongan Daerah Tampin kepada PBT yang dikunjungi.
Inisiatif ini menjadi wadah untuk memperkukuh ukhuwah, jaringan kerjasama dan semangat kebersamaan antara PBT, di samping memperkenalkan serta mempromosikan produk dan destinasi pelancongan daerah Tampin sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Dari Tampin menuju Kuala Pilah,
Singgah sebentar di Pekan Rembau;
Jalur Gemilang berkibar megah,
Semangat merdeka terus diimbau.
Ke Jelebu meneruskan perjalanan,
Jempol pula menjadi persinggahan;
Seremban disapa penuh kemesraan,
Port Dickson indah destinasi kenangan
Ayuh bersama kita kibarkan Jalur Gemilang, semarakkan semangat patriotisme dan terus melangkah sebagai satu keluarga besar Negeri Sembilan.
SATU JIWA, SATU RODA, 7 DESTINASI
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!


